Isnin, 17 Disember 2012

Pemimpin mesti faham kehendak rakyat

Ulil amri mempunyai makna dan pengertian yang luas merujuk kepada mereka yang diamanahkan untuk menjaga kemaslahatan serta kesejahteraan rakyat. Ulil amri bertanggungjawab mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan umum.

Dalam konteks negara kita, ulil amri adalah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu (sebagai ketua agama), Perdana Menteri, menteri Kabinet, mufti, ulama, pegawai pemerintah, ketua tentera serta pemimpin pertubuhan dan persatuan sehinggalah kepada ketua keluarga.
Allah SWT memberi tanggungjawab yang berat kepada pemimpin sebagai satu amanah bagi membawa golongan yang dipimpin mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Semakin tinggi kepemimpinan yang disandang, semakin banyaklah tanggungjawab yang mesti dilunaskannya.

Agama Islam tidak akan kuat kecuali dengan jemaah dan jemaah tidak akan berjalan kecuali ada pemimpinnya dan pemimpin tidak akan ada gunanya jika tidak ditaati” - Hadis

FirmanNya: “Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, seperti mana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa.” (Surah an-Nur, ayat 55)

Bagi meraih keberkatan Allah SWT, pemimpin perlu faham kehendak rakyat dan berusaha menunaikannya manakala rakyat pula mesti taat dan bekerjasama menjayakan sebarang usaha bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Tanggungjawab

Semua manusia, baik pemimpin atau rakyat tidak sunyi daripada sifat lupa dan khilaf sama ada secara sedar atau tidak. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memberi peringatan atau teguran supaya pemimpin dapat mem-betulkan kesilapan dan segera memohon keampunan daripada Allah.
Bagaimanapun dalam membuat teguran, nasihat atau kritikan, biarlah yang membina, tidak menjatuhkan aib serta mengikut adab budaya hormat-menghormati. Cara ini dapat memelihara ikatan ukhuwah selain menyedarkan mereka yang melakukan kesilapan supaya bertaubat pada Allah SWT.

Hubungan pemimpin dengan rakyat hendaklah sentiasa kukuh, saling sokong-menyokong dalam menyusun program dan agenda kerja demi kesejahteraan rakyat serta negara.

Bersatu padu

Umat Islam hendaklah bersatu padu secara menyeluruh di atas landasan al-Quran dan hadis. Perpaduan berasaskan keimanan akan mengangkat martabat umat Islam di dunia dan di akhirat.

Kejayaan kerajaan Islam menjatuhkan dua kuasa besar dunia Rom dan Par-si dicapai kerana semangat persaudaraan ukhwah fillah Islamiyyah.

Dalam era pasca kemerdekaan ini, umat Islam di Malaysia masih berdepan cabaran getir dari dalam dan luar negara. Maruah diri dan kedaulatan negara tidak dapat dipertahankan jika ada perselisihan dan pertentangan dalam negara.

Cabaran ini menuntut kekuatan daya juang, semangat kental dan ketahanan sehingga titisan darah terakhir. Islam mewajibkan umatnya berjihad mempertahankan agama dan negara daripada sebarang ancaman musuh.

Baginda SAW bersabda: “Agama Islam tidak akan kuat kecuali dengan jemaah dan jemaah tidak akan berjalan kecuali ada pemimpinnya, dan pemimpin tidak akan ada gunanya jika tidak ditaati.”

Sebagai umat Islam yang bermaruah, kita hendaklah kasih dan cinta kepada agama, bangsa dan tanah air. Kita bertanggungjawab mendukung usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang sedang kita nikmati hari ini.

Janganlah kerana perbezaan ideologi politik, perselisihan pendapat dan ketaksuban diri, membuatkan kita sanggup pertaruhkan akidah dengan membelakangkan tuntutan agama, bangsa dan negara. Sumber BH..
BERBICARA BIARLAH BENAR...

Tiada ulasan:

Translate