IPOH - Dasar kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk mencari penyelesaian bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat tidak akan terhenti, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, walaupun kerajaan melaungkan negara ini semakin maju serta banyak kejayaan yang dikecapi namun kerajaaan BN akan terus berusaha meningkatkan kehidupan rakyat supaya lebih baik, sempurna dan berjaya.

"Kita tahu di kawasan bandar masih terdapat kekurangan, ada rakyat yang belum berjaya dan miskin, begitu juga di kawasan luar bandar, bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga bangsa lain.

"Sebab itu dasar kerajaan BN tidak akan berhenti untuk mencari jalan menolong rakyat, mengurangkan bebanan yang saudara dan saudari rakyat jelata tanggung," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 hadirin pada Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Buntong di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beberapa tahun kebelakangan ini rakyat dapat melihat dan merasai sendiri hasil usaha yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pemberian pelbagai bantuan tertentu untuk mengurangkan beban hidup.

"Kita tahu apabila berjumpa dengan orang ramai di seluruh negara, mereka menceritakan dan bertanya sama ada Perdana Menteri boleh menolong mereka atau tidak. Kerajaan tahu ini adalah permintaan ikhlas yang datang daripada rakyat yang memerlukan bantuan," katanya.

Muhyiddin berkata, oleh yang demikian kerajaan mengambil usaha yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara iaitu pemberian pelbagai bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, pesara tentera tidak berpencen, golongan bujang, penjaja dan pemandu teksi.

Katanya, kesemua bantuan itu diberi walaupun dalam masa yang sama pelbagai sokongan, bantuan dan kemudahan diberi tanpa gagal oleh kerajaan BN sejak dulu sehingga sekarang terutama dalam sektor pendidikan, perubatan dan sosial.

Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan kelulusan peruntukan kepada sembilan projek yang bernilai lebih RM1 juta untuk kawasan Parlimen Ipoh Barat dengan lapan daripadanya adalah bagi kawasan Buntong.

Peruntukan yang diluluskan adalah kos pembinaan Kelab Kacang Putih (RM200,000), pembinaan bangunan Pertubuhan Penganut Jegathguru Sri Raghavendra Swamigal Miruthiga Brindavanm Kinta (RM50,000), kos mengecat rumah pangsa Taman Pertama (RM80,000), pembinaan jalan masuk ke Tanah Perkuburan Islam Buntong (RM50,000) serta pembinaan bangunan Persatuan Pengajian Kitab Tradisional Hindu Malaysia (RM50,000).

Selain itu beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan kepada Persatuan Shirdi Sai Baba (RM50,000), kos pembinaan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) St Philomena Convent (RM150,000), pembinaan gelanggang serbaguna di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Buntong (RM100,000) serta kos penurapan semua laluan di kawasan Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini (RM300,000).

Pada majlis itu Muhyiddin turut menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada 10 daripada 1,953 penerima sebelum melakukan tinjauan mesra dan menghadiri majlis ramah mesra bersama-sama penduduk Rumah Pangsa Jalan Hospital (atau lebih dikenali sebagai Flat Ashby Road) di sini . - Bernama