PETIKAN AKHBAR DAN CERITA PRU 13


WARTAWAN SINAR HARIAN
4 April 2013
PRU13
PRU13
SHAH ALAM – Pengundi atas pagar bakal menjadi penentu kemenangan kepada parti yang bertanding kerana golongan ini akan memberi undi kepada calon yang mereka gemari.

Pensyarah Geo Strategis UTM, Dr Azmi Hassan berkata, pengundi tegar sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) tetap akan mengundi parti mereka walau apa pun terjadi.

Menurutnya, apa yang penting ialah pertambahan pengundi baru seramai 3 juta.

“Pertama kali dalam sejarah peningkatan mendadak pengundi baru. Ia berlaku kerana lima tahun kebelakangan ini rakyat jemu dengan senario politik yang ekstrem,” katanya.

Azmi berkata, kehadiran pengundi baru memberi kelebihan kepada BN dan undi ini akan memberi majoriti dua pertiga.


4 April 2013
KUALA LUMPUR - Pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) menegaskan jentera pilihan raya BN telah bersiap sedia sepenuhnya dan dalam 'gear akhir' bagi menggempur pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
  
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jentera pilihan raya BN perlu memastikan setiap calon parti itu mendapat sokongan tidak berbelah-bahagi dan bersungguh-sungguh dalam memastikan kemenangan parti.
  
"Barisan telah kita rapatkan dan semangat tinggi perjuangan telah kita laungkan, pemimpin kita terutamanya presiden (Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak) telah lakukan perancangan rapi jadi sekarang dalam 'gear akhir' dan 'all system go'," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.
  
Mengulas keputusan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Perak, seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jentera pilihan raya BN tidak akan sama sekali gentar dan akan memastikan mimpi pembangkang menakluki Perak tidak akan menjadi kenyataan.
  
"Saya yakin dia (Anwar) akan bertanding di kerusi tidak disandang BN di Perak. Buatlah apa sahaja, ini negara demokrasi tetapi yang pasti kita yakin akan berjaya pertahankan Perak dan Putrajaya, tetapi bagi memastikan kemenangan dua pertiga majoriti jentera kita perlu bekerja dengan cara luar biasa," katanya.
  
Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yakin BN mampu menawan kembali Pulau Pinang berdasarkan persiapan rapi yang telah dirancang sejak empat tahun lepas.  
  
BN Pulau Pinang, katanya akan mengeluarkan manifestonya sendiri yang akan diumumkan oleh pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow dalam masa terdekat.
  
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai melahirkan keyakinan calon yang akan diletakkan BN pada PRU3 mampu memberi impak besar dalam usaha membela nasib rakyat, selain mampu melaksanakan transformasi yang dilaksanakan Najib.
  
"BN ada banyak kelebihan dalam empat tahun ini di bawah Perdana Menteri (Najib) apabila semua janji kepada rakyat telah kita laksanakan. Kita akan teruskan perancangan untuk memastikan rakyat hidup sejahtera apabila kita dapat mandat lagi daripada rakyat," katanya.
  
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramanian berkata mesyuarat Dewan Tertinggi BN pagi ini bersetuju langkah dan pendekatan yang akan digunakan setiap parti komponen adalah selaras dengan keperluan semasa, bagi memastikan mesej diterima semua lapisan masyarakat.
  
Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan yakin perubahan bersar akan berlaku dalam pemilihan calon bagi PRU13 dan mahu semua anggota parti komponen BN menerimanya dengan hati terbuka.
  
"Saya syak wujud trend dan corak baharu di kalangan orang muda dan saya fikir bukan sahaja dengan parti saya, parti-parti komponen juga mesti menerima realiti ini dan ini sesuatu yang perlu diberi perhatian," katanya.
  
Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok berkata parti itu berpuas hati dengan pembahagian kerusi yang dilakukan secara muafakat bersama parti komponen BN yang lain.
  
"Kami telah mengadakan banyak perbincangan dan keputusannya akan diumumkan perdana menteri dalam waktu terdekat. Kami akan menang semula di kerusi BN, tetapi agak bimbang di kerusi yang disandang mereka yang telah keluar BN, jadi kami perlu kajinya," katanya.
  
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut yakin BN akan dapat mempertahankan majoriti dua pertiga di Sabah.
  
"Bagi PBS, kami sudah bersedia dalam beberapa bulan ini dari segi jentera di semua peringkat, kita sedia bergerak sebaik sahaja penamaan calon (ditetapkan)," katanya. - Bernamahttp://www.sinarharian.com.my/politik/jentera-pru13-bn-dalam-gear-akhir-gempur-pakatan-1.146250

Tiada ulasan:

Translate