Khamis, 13 Disember 2012

Jangan jadikan masjid medan perpecahan

Jangan jadikan masjid medan perpecahan


Jangan jadikan masjid medan perpecahan

IPOH 9 Dis. - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kesal dengan kecenderungan pihak tertentu menjadikan masjid sebagai medan perpecahan dengan memburuk-burukkan sesama Islam sedangkan rumah Allah itu sepatutnya dijadikan tempat penyatuan ummah.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam termasuk ahli jawatankuasa masjid menjemput penceramah yang boleh memberikan ilmu agama dan bukannya memecahkan sesama mereka.
Malah Harussani berkata, beliau sendiri turut menjadi mangsa kutukan dan diberi pelbagai gelaran untuk memburuk-burukkannya.
"Saya juga sedih kerana masih ada lagi orang baca khutbah nama 'Haramsani'. Saya tidak peduli sebab itu menunjukkan kejahilan mereka. Orang baca khutbah dengan memburukkan orang lain, itu fasik namanya," ujarnya.
Beliau berucap merasmikan Surau Rafeah di Meru Perdana yang turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Kumpulan MK Land Holdings Berhad, Kamarulzaman Abu Bakar, di sini hari ini.
Surau yang dibina dengan kos RM500,000 oleh Yayasan Emkay itu boleh memuatkan seramai 180 orang jemaah di dewan solat dan 270 orang semasa solat tarawih.
Dalam perkembangan sama, Harussani meminta umat Islam tidak sekadar seronok dan berlumba-lumba membina masjid yang indah tetapi lupa tanggungjawab menjaga dan mengimarahkan rumah Allah itu selepas siap.
Katanya, kebanyakan masjid hanya penuh pada hari Jumaat sahaja tetapi kekurangan jemaah pada hari-hari lain terutamanya semasa solat Subuh dan masalah itu bukan hanya berlaku di negara ini tetapi kepada umat Islam di seluruh dunia.
"Umat Islam berlumba-lumba membina masjid supaya menjadi yang tercantik dan teragung di dunia, tetapi kecantikan dan keagungan masjid itu tidak memberikan tanggungjawab kepada umat Islam untuk mengingati Allah," katanya.
Menurut Harussani, masalah itu tidak berlaku pada zaman sebelum merdeka kerana masjid atau surau ketika itu dibina atas hasil usaha setiap umat Islam sendiri dengan mewakafkan tanah dan sumbangan derma.
"Selepas merdeka, masjid dibina dengan bantuan kerajaan sehingga setiap daerah ada masjid yang dibina dengan belanja yang cukup hebat, tetapi malangnya sambutan orang Islam tidak begitu menggalakkan sebab mereka rasa rumah ibadat tersebut bukan kepunyaan mereka tetapi milik kerajaan.
"Apabila masjid rosak, bocor atau apa sahaja yang berlaku, mereka meminta bantuan daripada kerajaan seolah-olah sudah tidak ada tanggungjawab manusia," katanya.

BERBICARA BIARLAH BENAR...

Tiada ulasan:

Translate