Jumaat, 8 Februari 2013

Perpaduan Umat Islam : Tanggungjawab Semua




Marilah kita tingkatkan kualiti takwa kita kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

Islam adalah agama yang menyeru umatnya agar mereka bersatu dan menjaga ukhuwah Islamiyyah sesama Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 10:

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.".

Disini jelas berpandukan Ayat tersebut,Setiap orang yang beriman diikat dengan tali kekeluargaan seagama, iaitu satu ikatan yang kuat  mengatasi hubungan darah dan kekeluargaan. Mereka berkewajipan untuk memelihara persaudaraan dengan saling menghormati, bekerjasama dan saling membantu dalam kehidupan seharian. Malah Nabi SAW telah memberi contoh yang baik ketika berhijrah Dari Mekah Ke Madinah.


Persaudaraan yang berasaskan akidah ini berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang terdiri daripada berbagai pegangan agama dan kabilah. Sejarah mencatatkan kehebatan tahap persaudaraan ketika itu antara golongan Ansar dan Muhajirin. Demikianlah tingginya tahap persaudaraan dan kasih sayang yang dihayati oleh masyarakat Islam pada zaman nabi SAW.
Sesungguhnya persaudaraan Islam yang bercirikan roh kekeluargaan dan semangat kekitaan semakin berkurangan. Bahkan, terdapat sesetengah ahli keluarga tidak mengenali saudara terdekat, dan ada jiran tetangga tidak mengenali dan bertegur sapa dengan jiran tetangga yang lain. Sesetengah golongan fakir dan miskin yang lemah tidak dipedulikan oleh masyarakat sekitar. Fenomena hasad dengki, fitnah, khianat, dendam dan buruk sangka semakin berleluasa dalam masyarakat. Apa yang lebih membimbangkan kita ialah berlakunya permusuhan dan perbalahan dalam kalangan para pemimpin dan pengikut parti politik. Seterusnya boleh mengancam kekuatan dan kedaulatan umat Islam.
Kenapa kita tidak boleh  mengenepikan soal warna parti, perbezaan politik, permusuhan lama, dan pertelingkahan yang tidak pernah berkesudahan. Marilah kita duduk semeja berbincang dan bermesyuarat demi menjaga, memelihara dan mempertahankan hak agama Islam secara bersama. Kalaulah mereka yang berbeza akidah dan kepercayaan boleh duduk bersama dan bekerjasama. Apakah kita yang mempunyai rasul, ucapan syahadah, kiblat dan Al-Quran yang sama, tidak ada ruang langsung untuk kita duduk berbincang dan bersatu?.


Oleh itu, semua pihak wajib bermuhasabah dalam usaha menegakkan agama Allah di bumi yang kita sayangi ini. Setiap individu perlu berfikiran positif untuk bekerjasama dan membantu dalam apa jua kebajikan dan maslahah umat Islam. Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa dan menceroboh. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat seksaanNya bagi sesiapa yang melanggar perintahNya.”

Marilah kita mengambil iktibar dan pengajaran, bahawa pada masa ini kekuatan politik umat Islam semakin lemah, penguasaan ekonomi dan kualiti sosial kita tertinggal jauh ke belakang. Oleh itu, kita tiada pilihan lain melainkan kembali bersatu menguatkan persaudaraan kita berdasarkan ketaatan kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat 103, yang bermaksud :

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah yakni Al-Quran dan As-Sunnah, dan janganlah kamu berpecah belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu, ketika kamu bermusuh-musuhan semasa jahiliyah dahulu, lalu Allah menyatukan antara hati kamu sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam, maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka disebabkan kekufuran kamu, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”



 Imam Besar Masjidil Haram, Mekah iaitu Al-Syeikh Professor Dr Abdul Rahman Al-Sudais, yang menziarahi Malaysia baru-baru ini telah menggariskan beberapa asas utama perpaduan ummah dalam khutbah beliau semasa berkunjung ke Malaysia baru-baru ini, antaranya :

Asas pertama: Setiap umat Islam wajib berpegang dengan akidah yang sahih. Kita wajib mengamalkan segala perintah Allah SWT, bermula daripada solat, zakat, puasa, haji dan segala bentuk-bentuk ibadat yang lain. Selain itu, kita juga wajib meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah SWT.


Asas kedua: Setiap Muslim wajib mengikut sunnah Nabi SAW dalam apa jua keadaan dan kehidupan kita. Ini kerana Rasulullah SAW adalah contoh tauladan yang mesti diikuti untuk mencapai kejayaan. Nabi SAW pernah bersabda dalam hadis riwayat Al-Bukhari, yang bermaksud; “Semua umat Islam akan masuk syurga, kecuali mereka yang enggan”. Sebenarnya, yang dimaksudkan dengan ‘mereka yang enggan' ialah mereka yang derhaka kepada Rasulullah SAW dengan tidak mengikuti suruhan nabi dan melanggar larangannya.


Asas ketiga: Setiap umat mestilah menjadi umat yang berilmu dan berpengetahuan. Tidak kira apa jua bidang yang diceburi, kita mestilah mendalami ilmunya. Ini dibuktikan dengan turunnya ayat Al-Quran yang pertama yang menyuruh kita mencari ilmu iaitu ‘Iqra’. Begitu juga dengan orang yang berilmu akan diangkat darjatnya oleh Allah SWT. Oleh itu, menjadi tuntutan kepada kita yang menuntut ilmu agar mengamalkan ilmu tersebut.

Asas keempat: Akhlak yang sempurna adalah asas kesatuan umat kerana Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji. Amat menyedihkan sekiranya akhlak tidak dijadikan tumpuan umat Islam. Oleh itu, kita mestilah menjaga akhlak keperibadian yang baik tidak kira di mana jua kita berada, sama ada sesama Islam, atau bukan Islam. Begitu juga adab dan akhlak yang terpuji mestilah dipelihara, jika berlaku perbezaan pandangan dalam masalah berkaitan cabang-cabang feqah dan agama,. Ini mengambil contoh daripada sikap para sahabat Nabi RAnhum dan imam-imam yang terdahulu.


Perkara kelima: Umat Islam mestilah mengambil berat terhadap perkara-perkara yang berlaku ke atas umat Islam yang lain di seluruh pelusuk dunia. Ini kerana semua umat Islam umpama jasad yang satu; apabila satu bahagian merasa kesakitan, kesakitan tersebut akan dirasai oleh bahagian yang lain.

Perkara keenam: Umat Islam juga mestilah menitikberatkan soal pembangunan generasi yang akan datang. Generasi ini mestilah ditarbiah dengan asas-asas Islam yang sempurna seperti akidah yang sahih, berpegang teguh dengan Al-Quran, mengikut Sunnah Nabi SAW serta berakhlak dengan akhlak yang terpuji.

Note:Olahan Dan Berpandukan kepada khutbah Jumaat Pada (17 Jun 2011/1 Rejab 1432)

,untuk kita bersama bersatu demi Agama,Bangsa Dan Negara supaya bertambah ikatan Persaudaraan Kita.










BERBICARA BIARLAH BENAR...

Tiada ulasan:

Translate